Aug 06, 2022 - FASSelangor FC akan berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi perlawanan peringkat Separuh Akhir Piala FA 2022 menentang Terengganu FC (TFC) pada jam 9 malam ini.
Menurut Ketua Jurulatih, Michael Feichtenbeiner, pasukan akan fokus untuk beraksi dengan baik bagi melayakkan diri ke pentas akhir Piala FA 2022.
“Kami tahu menentang TFC sentiasa menjadi cabaran yang sukar tetapi kita tiada pilihan lain selain menang perlawanan malam ini untuk layak ke perlawanan akhir.
“Mereka (TFC) merupakan antara pasukan yang bagus di Malaysia terutamanya dalam penguasaan bola tetapi kami telah menemui jalan untuk mengatasi mereka malam ini.
"Saya percaya peminat Gergasi Merah mahukan trofi selepas beberapa tahun menanti dan kami sebagai satu pasukan juga mahukan perkara yang sama.
"Betul kami telah dikalahkan baru-baru ini, saya akan ambil itu sebagai pengajaran tetapi ini adalah pertandingan yang berbeza, kami akan fokus untuk beraksi dengan baik seperti yang kami lakukan di Sabah pada Suku Akhir Piala FA sebelum ini,” tegas Michael.
Dari segi keberadaan pemain untuk perlawanan Piala FA hari ini, pasukan Selangor FC masih kehilangan Safuwan Baharudin akibat daripada kecederaan ‘mild traumatic brain injury’.
Selain itu, Fazly Mazlan tidak dapat bersama pasukan pada malam ini kerana mengalami masalah kesihatan yang tidak dapat membenarkan beliau untuk beraksi.
Walau bagaimanapun, para penyokong boleh bersorak gembira dengan kembalinya Shahrel Fikri yang sudah pulih daripada kecederaan di bahagian ‘hamstring’.
Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan pada malam ini. Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!